Selamat Datang

Ruangan ini diwujudkan sebagai satu alternatif kepada saya untuk berkongsi minat dan juga pengalaman khususnya yang melibatkan hobi yang berkaitan dengan keretapi (juga fotografi) bersama-sama peminat lain di serata pelusuk tanahair.

Saya tidak mewakili mana-mana organisasi ataupun syarikat dan saya bergerak secara bebas dalam mempromosikan hobi ini. Justeru, sebarang komen, pandangan dan juga buah fikiran yang dilontarkan di dalam blog ini adalah datangnya daripada saya sendiri dan ianya tidak mewakili mana-mana pihak.

Sebahagian daripada isi kandungan blog ini (khususnya gambar-gambar) dalah datangnya daripada koleksi peribadi saya sendiri. Makluman rujukan akan dimaklumkan sekiranya bahan-bahan yang dipaparkan dirujuk daripada sumber ataupun laman web yang lain.

Saya amat berbesar hati sekiranya ada di antara peminat-peminat keretapi khususnya di luar sana yang sudi untuk bersama-sama dengan saya untuk berkongsi minat yang unik ini dengan melibatkan diri dalam sebarang bentuk perbincangan yang diadakan. Sebarang bentuk pandangan dan juga idea yang diberikan amatlah dihargai.

Ruangan ini masih lagi dalam proses pembikinan dan saya memohon maaf di atas segala kekurangan yang wujud di dalam blog ini. Segala kekurangan ataupun kelemahan yang wujud dalam ruangan ini akan cuba diperbaiki daripada semasa ke semasa untuk kebaikan bersama.

(Versi bahasa Inggeris akan diposkan tidak lama lagi / English version will be uploaded soon)

Salam ceria,
Hisham
27 Oktober 2009

Tuesday, October 27, 2009

Stesen Tunjang



Stesen Tunjang terletak di antara laluan Arau-Alor Setar dan merupakan salah sebuah daripada stesen kecil yang penting dalam mengendalikan perjalanan tren terutamanya apabila berlakunya crossing atau pertembungan antara dua tren. Stesen ini dibina sejak sebelum perang dunia ke-2 dan merupakan antara stesen kecil yang masih lagi mengekalkan ciri-ciri senibina lama yang mempunyai nilainya yang tersendiri. Stesen ini kini ditadbir oleh tiga orang ketua stesen yang terdiri daripada En. Badruddin, En. Rosli dan En. Nazri.

Operasi persemboyanan di stesen ini masih lagi menggunakan kaedah manual di mana proses penukaran landasan (daripada loop line ke main line / daripada main line ke loop line) masih lagi dilakukan dengan menggunakan lever ataupun raktuas. Sistem token masih lagi digunapakai bagi laluan tren di sini (Arau - Tunjang - Alor Setar).Stesen ini mempunyai hanya satu loop line.

Pemandangan di sekitar stesen ini agak menarik kerana ianya terletak bersebelahan dengan sawah padi yang luas terbentang. Justeru, pengalaman menaiki tren melalui stesen ini pada ketika musim padi mula menghijau amatlah mengasyikkan. Namun demikian, stesen ini bakal lenyap sedikit masa lagi kerana ianya akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek landasan berkembar yang kini sedang giat dijalankan di sektor utara.

Stesen ini dikatakan telah turut digunakan oleh pasukan tentera Jepun ketika penaklukan mereka ke atas Malaya pada sekitar tahun 1940an. Terdapat beberapa kesan tetakan pada sebahagian tiang di bangunan stesen ini. Menurut penduduk setempat, ianya merupakan kesan daripada tetakan pedang tentera Jepun pada ketika itu. Namun demikian, tiada bukti yang nyata untuk menyokong kenyataan tersebut.

Stesen ini merupakan antara lokasi yang ideal untuk menjalankan kegiatan trainspotting memandangkan latarbelakang pemandangannya yang cantik. Saya sendiri gemar berkunjung ke stesen ini bila berkelapangan bagi tujuan trainspotting dan juga fotografi / videografi.

1 comment: