

Stesen Tunjang terletak di antara laluan Arau-Alor Setar dan merupakan salah sebuah daripada stesen kecil yang penting dalam mengendalikan perjalanan tren terutamanya apabila berlakunya crossing atau pertembungan antara dua tren. Stesen ini dibina sejak sebelum perang dunia ke-2 dan merupakan antara stesen kecil yang masih lagi mengekalkan ciri-ciri senibina lama yang mempunyai nilainya yang tersendiri. Stesen ini kini ditadbir oleh tiga orang ketua stesen yang terdiri daripada En. Badruddin, En. Rosli dan En. Nazri.
Operasi persemboyanan di stesen ini masih lagi menggunakan kaedah manual di mana proses penukaran landasan (daripada loop line ke main line / daripada main line ke loop line) masih lagi dilakukan dengan menggunakan lever ataupun raktuas. Sistem token masih lagi digunapakai bagi laluan tren di sini (Arau - Tunjang - Alor Setar).Stesen ini mempunyai hanya satu loop line.
Pemandangan di sekitar stesen ini agak menarik kerana ianya terletak bersebelahan dengan sawah padi yang luas terbentang. Justeru, pengalaman menaiki tren melalui stesen ini pada ketika musim padi mula menghijau amatlah mengasyikkan. Namun demikian, stesen ini bakal lenyap sedikit masa lagi kerana ianya akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek landasan berkembar yang kini sedang giat dijalankan di sektor utara.
Stesen ini dikatakan telah turut digunakan oleh pasukan tentera Jepun ketika penaklukan mereka ke atas Malaya pada sekitar tahun 1940an. Terdapat beberapa kesan tetakan pada sebahagian tiang di bangunan stesen ini. Menurut penduduk setempat, ianya merupakan kesan daripada tetakan pedang tentera Jepun pada ketika itu. Namun demikian, tiada bukti yang nyata untuk menyokong kenyataan tersebut.
Stesen ini merupakan antara lokasi yang ideal untuk menjalankan kegiatan trainspotting memandangkan latarbelakang pemandangannya yang cantik. Saya sendiri gemar berkunjung ke stesen ini bila berkelapangan bagi tujuan trainspotting dan juga fotografi / videografi.